• Jln Pupuk Teluk Kalong, Kemaman
  • Tel: 09-863 3605

DITC Meriah Dengan Kehadiran 700 Ahli ARC Terengganu

KEMAMAN, 15 Disember – Seramai 700 orang ahli Alternative Riding Club (ARC) telah menyertai Gathering ARC Terengganu 2019 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 Disember di Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong.

Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya solat berjemaah, kuliah Maghrib, makan malam (BBQ), sembang santai, kuliah Subuh dan sukan.

Ketuanya, Mohd Rahim Razali berkata, Gathering ARC Terengganu ini telah memasuki edisi yang kesembilan pada kali ini sejak ianya mula ditubuh pada tahun 2007.

 

“Kita pusing semua daerah sebagai tuan rumah pada setiap tahun bermula pertama kali diadakan di Setiu sehinggalah tahun ini giliran di Kemaman,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, program seperti ini diadakan bagi membina ukhuwah di antara ahli-ahli ARC yang sudah berdaftar bersama jentera masing-masing di samping menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan.

“Selepas ini kita juga akan menyelitkan program kebajikan dengan melawat beberapa madrasah dan pondok di sekitar daerah Kemaman ini dengan penuh semangat. Di sana akan disampaikan sedikit sumbangan, insya-Allah,” katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja, petugas dan semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program pada kali ini.

Rahim juga berharap agar selepas ini lebih ramai orang akan hadir bersama-sama menyertai ARC tidak kira sama ada dari kalangan ahli PAS ataupun tidak.

Penghujung program kali ini menyaksikan semua peserta berkonvoi dengan motosikal bermula dari DITC sehingga ke Dataran Padang Astaka, Kemaman dan turut disertai oleh Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai menyempurnakan majlis perasmian penutup.

Majlis diakhiri dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal Yamaha 125ZR dan makan tengahari.

Tular