• Jln Pupuk Teluk Kalong, Kemaman
  • Tel: 09-863 3605

ICET2019: DITC Jadi Tumpuan Penyelidik, Penuntut Dari Dalam dan Luar Negara

KEMAMAN – Seramai 160 orang penyelidik dan penuntut dari dalam dan luar
negara menyertai Persidangan Antarabangsa Teknologi Kejuruteraan (ICET)
2019 sebagai inisiatif memacu kemajuan teknologi kejuruteraan di negara
ini.

Persidangan selama dua hari itu dianjurkan Kolej Universiti TATI (TATIUC)
dengan kerjasama Pusat Latihan Darul Iman (DITC), Universiti Mie yang
berpangkalan di Jepun, Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) dan Persatuan
Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MySET).

Rektor Kolej Universiti TATIUC, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata,
persidangan tersebut merupakan persidangan kali keempat sejak 2011.

Menurutnya, penganjuran persidangan itu bertujuan mewujudkan rangkaian
kerjasama antara TATIUC dan Universiti Mie dalam bidang yang merangkumi
Kejuruteraan Mekatronik, Kimia dan Polimer, Pembuatan dan Informasi
Teknologi (IT).

*“Kita menyahut seruan kerajaan yang hendak menjadikan negara ini sebagai
sebuah negara yang maju selaras dengan hasrat untuk mencapai Revolusi
Perindustrian 4.0 dan ke arah Revolusi Perindustrian 5.0.*

Anuar (tujuh dari kanan) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam ICET
2019 di DITC Teluk Kalong, Kemaman.

*“Saya lihat perkembangan teknologi kejuruteraan di negara ini bergerak
perlahan dan dengan penganjuran persidangan ini kita dapat berkongsi
kepakaran antara universiti tempatan dan luar negara,” katanya.*

Beliau berkata, persidangan pada kali ini menghimpunkan empat sub kluster
penyelidikan iaitu penyelidikan berkenaan Robotik dan Sistem Automasi,
Inovasi kimia, Pembuatan Terkini, dan Informasi Teknologi.

*“Apa yang kita lihat sekarang, produk yang dihasilkan di negara kita tidak
mampu bersaing dengan produk dari negara luar berikutan tahap teknologi
kejuruteraan kita yang masih ketinggalan dari negara maju yang lain,”
katanya.*

Kata beliau, dengan adanya persidangan sebegini, penyelidik tempatan dapat
berkongsi idea dengan penyelidik dari luar, pada masa sama mereka dapat
mempelajari idea penyelidik dari luar negara.

“Persidangan ini juga sekali gus dapat menjadikan TATIUC sebagai hab
penyelidikan teknologi kejuruteraan dan pengurusan teknologi di peringkat
antarabangsa,” katanya.

 

2019 WARTAWAN SINAR HARIAN <https://kampusuols.com/> Isnin | 8 Julai 2019

Tular