• Jln Pupuk Teluk Kalong, Kemaman
  • Tel: 09-863 3605

Banglo, semi D jadi tempat pemindahan banjir

Oleh : RAIHAM MOHD SANUSI

KEMAMAN – Sebanyak 22 unit rumah di Darul Iman Training Center (DITC) Teluk Kalong dirancang untuk dijadikan bangunan penempatan mangsa banjir demi memberi lebih keselesaan kepada kesemua mangsa yang dipindahkan.

Pemangku Pegawai Daerah Kemaman, Johan Ibrahim berkata, sebelum ini mangsa banjir ditempatkan di dewan besar pusat latihan itu tetapi ia kurang selesa kerana paip air yang terhad.

“Kita berbincang dengan pihak DITC untuk tempatkan mangsa banjir di deretan rumah lama belakang dewan besar sebab itu kita buat lawatan ini untuk tengok kesesuaiannya,” katanya pada gotong-royong membersihkan rumah-rumah tersebut dan kawasan sekitar DITC, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Dun Terengganu, Yahaya Ali yang mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ditanya mengenai kos baik pulih rumah tersebut, Johan berkata, kosnya akan dinilai juruteknik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihaknya akan berusaha agar rumah-rumah berkenaan dapat digunakan pada tahun ini juga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Mohd Shuhaimi Embong berkata, daripada 22 buah rumah yang mahu dijadikan penempatan mangsa banjir, sebanyak 10 adalah banglo manakala 11 semi D dan sebuah lagi rumah bekas pengetua DITC.

“Kesemua rumah-rumah ini boleh memuatkan 700 lebih individu dan cukup untuk kapasiti mangsa banjir yang berpindah ke DITC setiap kali musim banjir.

“Kita sebolehnya nak elak guna dewan besar untuk keselesaan mangsa banjir kerana di rumah itu, ada paip air yang lebih banyak kerana punya lebih banyak tandas dan ada bilik tidur,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerja-kerja gotong-royong itu melibatkan lebih 100 peserta terdiri daripada penuntut Kolej Universiti TATI (TATIUC), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), jabatan kerajaan dan penduduk kampung.

“Jadi kita bersihkan dulu bangunan-bangunan lama ini sebelum ia dinilai untuk dibaik pulih,” katanya.Dalam perkembangan sama, Yahaya berkata, dengan penyelarasan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu, kerajaan negeri kini mula bergerak ke arah persiapan menghadapi kemungkinan banjir sebagaimana dilakukan tahun-tahun sebelumnya.

Tular