• Jln Pupuk Teluk Kalong, Kemaman
  • Tel: 09-863 3605

Amalkan Komunikasi Berimpak Tinggi

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Jentera kerajaan PAS di semua peringkat perlu mempraktikkan amalan komunikasi berimpak tinggi dalam melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab kerja.

Yang dipertua Dewan Undangan  Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata demikian sewaktu merasmikan Seminar Komunikasi Berimpak Tinggi, anjuran Darul Iman Training Center (DITC) di Pantai Teluk Kalong, di sini, pagi tadi.

“Sebaliknya, jika jentera parti kurang mahir dalam berkomunikasi atau gagal menguasai komunikasi berimpak tinggi, mereka bukan sahaja akan menghadapi kesukaran dalam menyampaikan atau menerima sesuatu mesej malah boleh menyebabkan pelbagai salah faham, pembaziran dan konflik yang merugikan.

“Adalah amat penting setiap kakitangan organisasi atau jentera parti diberikan latihan dan pendedahan yang sewajarnya tentang asas-asas dan kaedah-kaedah berkomunikasi berkesan atau berimpak tinggi agar mereka akan dapat melaksanakan setiap tugas mereka dengan lebih cemerlang.

“Komunikasi sebenarnya satu bidang yang sangat menarik dan berkait rapat dengan kesempurnaan hidup, bagaimana kita berinteraksi, medium yang digunakan, ‘approach’ dan nilai berkaitan yang memberi kesan dalam kehidupan kita, dalam apa sahaja lapangan yang dilakukan,” ujar Haji Yahaya.

Beliau juga merakamkan rasa penghargaan kepada DITC yang berjaya menganjurkan program ini sebagai program sulong kepimpinan baharu.

“Sudah tentu (kepimpinan baharu) jelas ingin melihat hasrat kerajaan PAS Terengganu untuk sentiasa fokus dan memberi keutamaan dalam soal pembangunan insan dan pembangunan modal insan itu sendiri tercapai dengan jaya,” tambah beliau.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Mohd Shuhaimi Embong, seramai 70 orang peserta dari seluruh Terengganu terlibat dalam program yang berlangsung sehari suntuk tersebut.

“DITC berjaya mendapatkan khidmat seorang fasilitator terkenal yang merupakan jurulatih professional selama 25 tahun, Abdul Rahman Abdullah mengendalikan bengkel ini,” ujar Mohd Shuhaimi.

 

Tular
  • 165
    Shares